Bayi lelaki seberat 4.5 kilogram itu dilahirkan menerusi pembedahan di sebuah hospital di Anajas, negeri Para di utara Brazil.
Keputusan imbasan menunjukkan, walaupun bayi itu mempunyai dua kepala yang sempurna, dia mempunyai satu jantung dan semua organ pentingnya berfungsi secara normal.
Menurut doktor, bayi berkenaan sihat dan kedua-duanya sudah mula berfungsi secara normal.
Wanita berusia 25 tahun itu yang tinggal di kawasan pedalaman Para, tidak menjalani pengimbasan ultra- sound sepanjang kehamilannya dan hanya mengetahui mengenainya beberapa minit sebelum melahirkan kandungannya pada awal pagi Isnin lalu.
Pengarah hospital, Claudionor Assis de Vasconcelos, memberitahu akhbar O Povo, wanita berkenaan mengambil keputusan untuk ke hospital kerana mengalami sakit perut yang teruk.
“Apabila doktor menjalankan pengimbasan terhadapnya, mereka mendapati bayi dalam kandungan itu mempunyai dua kepala dan kelahiran biasa membahayakan si ibu dan juga anaknya. “Proses pembedahan mengambil masa sejam kerana kepala bayi itu berada di atas.
“Walaupun berdepan dengan masalah kerana hospital kami kecil dan terletak di kawasan pedalaman, kami berjaya menyelamatkan si ibu dan anak. Itu yang menjadi matlamat kami. “Dan bagi kami, ia sesuatu yang mengejutkan untuk mendapati bayi itu sihat,” kata de Vasconcelos.
Menurutnya, wanita itu tidak menunjukkan sebarang keresahan selepas mengetahui anaknya berkepala dua.
“Bayi itu disambut gembira oleh keluarganya. Si ibu menyusukan kedua-dua mulut bayinya yang berada sepanjang masa dengannya di dalam bilik. Dia ingin membawa pulang bayi itu terus ke rumah,” katanya.
Wanita berkenaan dibawa dengan ambulans udara semalam ke sebuah hosptal pakar di Belem, ibu negeri Para, untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
Mereka dijangka dibenarkan pulang, minggu ini. Ini adalah kali kedua bayi berkepala dua dilahirkan di Brazil tahun ini.
Sebelum ini, Sueli Ferreira, 27, melahirkan bayi berkepala dua di negeri Paraiba tetapi ia meninggal dunia beberapa jam kemudian kerana satu daripada kepala itu tidak menerima oksigen secukupnya. – Agensi
1 comments:
tsk... camne eh nanti da beso.. kalau pisahkan.. x kan x pisahkan.. camne nak idop sbg manusia normal????
Post a Comment